Apa Itu Minyak Pati Featured Image

Apa Itu Minyak Pati Anda Mesti Tahu

Apabila ditanya apa itu minyak pati, apa yang kita bayangkan ialah minyak pati yang fungsinya hanya untuk tenang dan hilangkan tekanan selepas kita penat bekerja. Jarang sekali kita dengar individu gunakan minyak pati untuk rawat penyakit walaupun sebenarnya minyak pati banyak fungsinya, tidak dikhusus kepada bahagian luaran badan sahaja.

Essential oil background

Satu kaedah penyembuhan holistik yang lebih kepada mencari punca penyakit dan “Mencegah Lebih Baik Dari Merawat” dengan menggunakan minyak pati di dalam setiap rawatan oleh Aromaterapis di mana ianya boleh digunakan dalam pelbagai cara. Dan ianya bukan bertujuan untuk gantikan rawatan perubatan klinikal.

Mungkin ramai yang sedia maklum, aromaterapi adalah satu kaedah rawatan atau ‘terapi’ yang guna ‘aroma’, haruman atau bau-bauan dari minyak-minyak pati yang diekstrak dari tumbuh-tumbuhan atau pokok-pokok.

Di Eropah, minyak pati adalah salah satu kaedah penyembuhan semulajadi yang telah digunakan secara meluas.  Di sana, ia telah diterima oleh semua pengamal perubatan ortodoks dan klinikal, malah Aromaterapis di sana bukan sahaja mempunyai karier sebagai pengamal rawatan alternatif persendirian tetapi juga di hospital-hospital, hospis dan dewan pembedahan. Akan tetapi, di Malaysia, masyarakat kita telah mula menerima minyak pati sebagai penawar semulajadi.

Apa itu Minyak Pati?

Minyak pati atau juga di panggil ‘pati’ adalah bahan yang pekat atau likat. Diekstrak dengan pelbagai cara pengektrakan seperti penyulingan stim dan sebagainya dari pelbagai bahagian tumbuh-tumbuhan atau pokok-pokok.

Contohnya, dari teras pokok untuk dapatkan minyak pati Sandalwood, buah-buahan seperti Orange dan Lemon, bunga-bungaan seperti Rose dan herba seperti Fennel Sweet dan sebagainya.

Kimia dalam minyak pati terdiri daripada beratus-ratus komponen seperti terpenes, alkohol, aldehid, ester dan sebagainya.  Sebab itulah, satu jenis minyak pati boleh bantu dengan pelbagai masalah kesihatan, emosi dan fizikal. Lavender misalnya, bersifat antiseptik, antibakteria, antibiotik, antidepresan, analgesik, sedatif dan banyak lagi.

Oleh kerana struktur molekulnya sangat halus, sebab itulah, bila kita hidu, minyak pati akan terus meresap ke dalam kulit seterusnya ke dalam saluran darah. Dalam masa yang sama juga, ia akan masuk ke dalam paru-paru, seterusnya ke pundi udara kecil ke sekitar kapilari darah melalui proses resapan.

Dari Mana Minyak Pati Diperolehi?

Minyak pati boleh ditemui dari pelbagai bahagian pada tumbuh-tumbuhan atau pokok.

Misalnya Lavender, hasilkan minyak dari dua bahagian iaitu bunga dan daun.

Pokok Orange pula, hasilkan tiga minyak pati iaitu Neroli (dari bunga), Petitgrain (dari daun) dan Orange (dari kulit buah).

Minyak pati terkumpul dalam tisu tumbuhan yang dipanggil kelenjar minyak. Lagi banyak kelenjar minyak wujud dalam tumbuhan itu, lebih murahlah harga minyak pati tersebut. Begitu juga sebaliknya. Contohnya, 100 kilogram Lavender boleh hasilkan 3 liter minyak pati manakala 100 kilogram kelopak Rose hanya hasilkan ½ liter minyak pati sahaja.

Disebabkan minyak pati sangat likat atau pekat, kita di larang untuk mengoles terus ke atas kulit kita kecuali minyak pati tertentu seperti Lavender, Tea Tree, Peppermint, Lemon dan beberapa minyak pati yang lain. Sebab itu, kita perlu larutkan dahulu bersama minyak pelarut atau minyak asas seperti minyak Olive, Sweet Almond, Grapeseed, Kelapa dan sebagainya.

Bahagian tumbuh-tumbuhan Untuk Perolehi Minyak Pati

  • Akar
  • Batang dan ranting
  • Kulit Kayu
  • Daun
  • Bunga
  • Biji Buah
  • Buah
  • Rizom
  • Teras Pokok
  • Kulit Buah

Komponen Utama Dalam Minyak Pati

Dalam minyak pati ada lebih seratus juzuk kimia yang berlainan. Hampir semua molekul dalam minyak pati terdiri daripada sebatian organik yang mengandungi karbon, hidrogen dan oksigen yang dikenali sebagai kimia organik.

Adalah perlu untuk kita fahami jenis kimia organik tersebut supaya kita tahu ciri-ciri terapeutik minyak pati yang mana setiap satu ada penawarnya sendiri.

Contohnya, sifat-sifat terapeutik dalam minyak pati seperti yang bersifat ‘analgesik’ bantu untuk kurangkan sakit, bersifat ‘anti alergik’ bantu untuk elakkan reaksi alahan, bersifat ‘anti depresi’ pula bantu kurangkan depresi/kemurungan, bersifat ‘anti-mikrobial’ mampu bunuh mikro-organisme, bersifat ‘afrodisiak’ pula bantu untuk tingkatkan keinginan seksual dan sebagainya.

Bagaimana Minyak Pati Berfungsi?

Apabila minyak pati digunakan secara urutan, terdapat dua cara ia berfungsi.

Penyerapan minyak pati melalui paru-paru

Penyerapan-minyak-pati-melalui-paru-paru

Apabila kita hidu minyak pati, molekul minyak pati akan sampai ke paru-paru dan seterusnya masuk melalui dinding pundi udara (alveoli) yang sangat halus ke dalam kapilari darah dalam tubuh kita.

Terdapat ujian klinikal menunjukkan bahawa minyak pati boleh dikesan di dalam darah dalam 20 minit selepas kita sedut. Kemudian ia bergerak ke dalam aliran darah dan di bawa ke seluruh badan lalu bertindak untuk beri kesan penyembuhan. Kemudian ia akan dinyahkan daripada badan melalui peluh, kulit, air kencing, najis atau pernafasan bersama-sama dengan karbon dioksida.

Kesan dari kita sedut minyak pati tadi, ia akan merangsang sistem limbik iaitu pusat kawalan emosi otak kita lalu kesan emosi pun akan terhasil. Fungsinya untuk bantu tingkatkan mood, kawal perasaan, denyutan jantung, tekanan darah, tahap stres, keseimbangan hormon dan juga daya ingatan pada tubuh kita.

Penyerapan minyak pati melalui kulit

Penyerapan-minyak-pati-melalui-kulit

Minyak pati mudah diserap ke dalam badan kita bila di sapu pada kulit. Lalu ia akan menyerap melalui folikel rambut, kelenjar peluh dan seterusnya ke dalam lapisan kulit yang lebih dalam.

Kemudian, minyak pati tadi akan masuk ke dalam aliran darah atau limfa dan cecair tisu termasuk bahagian-bahagian badan yang lain dan dari situlah ia akan bekerja untuk beri kesan penyembuhan.

Bagaimana Minyak Pati Dihasil atau Diproseskan?

Penyulingan Wap (stim)

Kaedah yang paling popular dalam industri pembuatan dan pengeluaran minyak pati.  Tumbuh-tumbuhan akan dimasukkan ke dalam sebuah tangki panas yang mana tekanan dari wap panas tersebut akan pecahkan kantung yang menyimpan minyak pati dalam tumbuhan tadi. Molekul minyak yang meruap itu akan melalui dandang pendingin (cooling tank) lalu menyejat dan membentuk cecair di mana minyak pati dan air floral dalam tangki tadi akan terpisah.

Maceration

Dimana bunga atau tumbuhan akan direndam dalam minyak panas supaya membran sel bunga akan pecah dan minyak panas tersebut akan menyerap pati. Minyak tersebut kemudiannya dibersihkan dan disaring.

Penggunaan Pelarut

Teknik yang sama digunakan dalam pengekstrakan pelarut, di mana ‘bahan pelarut’ akan digunakan dan bukan minyak panas seperti yang digunakan dalam kaedah ‘maceration’.

Apa itu Minyak Pelarut?

Minyak pati terlalu likat untuk digunakan secara langsung ke atas kulit manusia. Oleh yang demikian, ia perlu dilarutkan terlebih dahulu dengan minyak yang lebih ringan yang dikenali sebagai ‘minyak pelarut’ yang juga dipanggil minyak asas, minyak pembawa, minyak sayuran atau minyak botanikal. Tujuannya agar lebih mudah untuk disapu pada semua jenis kulit.

Ini kerana, minyak pelarut tidak terlalu pekat atau likat seperti minyak pati dan hampir kesemua minyak pelarut tidak mengandungi bau yang boleh mengaburi bau atau aroma minyak pati.

Minyak pelarut yang biasa digunakan sebagai adunan bersama minyak pati yang biasa digunakan adalah Badam Manis, Zaitun, Kelapa, Biji Anggur, Jojoba, Aprikot dan banyak lagi.

Minyak Pati dan Keselamatan

Walaupun minyak pati telah lama digunakan di dalam industry minyak wangi, kosmetik dan makanan, banyak ujian telah dijalan untuk memastikan keselamatan dan sensitivitinya.

Minyak pati adalah selamat digunakan dengan syarat ia digunakan dengan cara yang betul dan bijaksana. Walaubagaimana pun, kita perlu sentiasa berjati-hati apabila menggunakan minyak-minyak pati kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada pengguna-penggunanya.

Berikut antara peringatan ketika menggunakan minyak pati:

  • Minyak pati mudah terbakar. Pastikan ianya dijauhkan dari api atau bahan yang mudah terbakar. Jika terdapat kebakaran melibatkan minyak pati, gunakan peralatan pemadam kebakaran yang mengandungi karbon dioksida, buih, serbuk kering atau wap cecair.
  • Jauhkan minyak pati dari sebarang permukaan varnis, permukaan berkilat atau bercat kerana ia mampu menghakis lapisan tersebut.
  • Secara amnya, dilarang untuk oles atau sapu minyak pati pada kulit sebelum di larutkan bersama minyak pelarut. Hanya minyak pati seperti Lavender, Eucalyptus, Tea Tree, Geranium, Peppermint, Rosewood atau Lemon sahaja yang selamat dan boleh disapu terus ke atas kulit kita.
  • Jauhkan minyak pati dari mata dan dilarang gosok mata selepas kendalikan ia. Sekiranya terkena pada mata, bilas serta merta dengan air sejuk.
  • Jauhkan dari jangkauan kanak-kanak.
  • Pastikan dos yang tepat kerana terlebih minyak pati boleh memudaratkan.
  • Minyak pati tidak boleh diambil secara oral, melalui rektum atau vagina.
  • Kendalikan minyak pati di kawasan yang mempunyai peredaran udara yang baik.
  • Minyak pati yang tumpah perlu dibersihkan dengan segera dan dilupuskan.
  • Elak guna minyak pati yang sukar didapati atau tiada maklumat mengenainya.
  • Sebaiknya buat ujian ke atas kulit terlebih dahulu sebelum guna minyak pati.

Penyimpanan Minyak Pati

Minyak pati mudah sejat dengan cepat, mudah rosak atau tercemar jika didedahkan pada cahaya, suhu panas yang ekstrim dan oksigen di udara. Oleh itu,

  • Pastikan ia di simpan di tempat gelap, suhu bilik dan sejuk (18°C atau kurang).
  • Simpan dalam botol jenis ambar atau gelap untuk lindung ia daripada cahaya ultraviolet matahari yang akan rosakkan molekul minyak pati yang akan buat jadi tengik.
  • Jangan guna penutup getah seperti pipet getah kerana terdapat minyak pati terutama Cedarwood yang boleh rosakkan getah lalu menjadi melekit.
  • Kebanyakan minyak pati boleh disimpan selama 3 tahun dari tarikh pembotolan. Akan tetapi, jika disimpan dengan baik, ia boleh bertahan hingga 5 tahun.

Kecuali minyak pati jenis sitrus seperti Bergamot, ia boleh rosak dalam tempoh yang singkat iaitu 6 hingga 9 bulan sahaja. Walau macamana pun, ada juga minyak pati yang makin lama kita simpan, makin bermutu seperti Sandalwood, Patchouli dan Frankincense asalkan ia dijaga dengan baik iaitu kurang terdedah kepada oksigen dan suhu panas.

Kita boleh juga simpan dalam peti sejuk tetapi bukan yang sejuk beku. Ia boleh jadi keruh bila di simpan sejuk, tetapi, biarkan selama satu atau dua jam pada suhu bilik, ia akan menjadi jernih semula dan senang mengalir keluar.

Adakah Minyak Pati Berkesan?

Sebilangan minyak pati memberi kesan penyembuhan, bergantung pada masalah apa yang digunakan oleh seseorang.

Terdapat sebilangan besar tumbuhan yang mengandungi sebatian aktif. Para pengilang telah mengguna puluhan minyak tumbuhan ini menjadi produk minyak pati. Beberapa minyak pati yang paling popular termasuk:

  • Lavender
  • Peppermint
  • Tea Tree
  • Lemon
  • Orange
  • Eucalyptus
  • Chamomile
  • Ylang-Ylang

Sebatian minyak pati mungkin mempunyai kesan kesihatan pada tubuh manusia. Berikut antara masalah kesihatan yang mendapat manfaat daripada penggunaan minyak pati:

  • Sakit kepala
  • Sembelit
  • Kemurungan
  • Sakit perut
  • Jangkitan sinus
  • Sakit otot
  • Kebimbangan

Ringkasan

Minyak pati adalah ekstrak cecair tumbuhan yang bermanfaat kepada manusia. Ia telah digunakan secara meluas untuk membantu dalam pelbagai keadaan dan beberapa penyelidikan menunjukkan bahawa minyak pati dapat membantu melegakan gejala dalam beberapa kes.

Minyak pati pada amnya selamat apabila digunakan dengan cara yang betul. Sentiasa larutkan minyak pati dengan minyak pelarut terlebih dahulu sebelum disapu ke atas kulit dan di larang sekali-kali menelannya.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *